Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Huawei dan MYNIC berganding bahu pastikan tiada ketinggalan dalam pendidikan
[KUANTAN, 13 MAC 2021] Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, bersama Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC, dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (“Huawei Malaysia”) pada hari ini telah bersama-sama berganding bahu membantu murid-murid yang kurang berkemampuan meneruskan pendidikan ketika negara masih dilanda wabak COVID-19.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Huawei Malaysia dan MYNIC melibatkan sumbangan sejumlah 200 tablet Huawei MediaPad kepada kanak-kanak dari sekolah terpilih di Indera Mahkota, Pahang.
Majlis penyampaian yang disempurnakan oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, turut dihadiri oleh Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, dan Encik Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia.
“Saya menyambut baik dan menghargai sumbangan MYNIC dan Huawei Malaysia di atas sokongan dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam membantu para pelajar yang kurang berkemampuan. Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan proses transformasi digital dan menyebabkan penggunaan internet yang ketara dalam semua aspek kehidupan, antaranya ialah pendidikan. Namun, terdapat murid-murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran yang kondusif atau secara dalam talian kerana masalah komputer atau alat peranti. Dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat, sumbangan seperti ini merupakan antara usaha berterusan bagi membantu para pelajar di Indera Mahkota untuk menimba ilmu dengan kelengkapan yang berkualiti. Saya berharap dan mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dan inisatif CSR seperti ini dijayakan bagi memastikan tiada murid yang terpinggir dalam mendapatkan pendidikan,” kata YB Dato’ Saifuddin Abdullah ketika inisiatif ini dilancarkan.
Huawei Malaysia turut menyumbangkan dua unit Huawei IdeaHub Skrin Pintar (Smart Screen) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Astana dan Sekolah Kebangsaan Balok Makmur bagi menyediakan pengalaman pembelajaran secara interaktif. IdeaHub boleh digunakan sebagai papan putih pintar dan alat telekonferens serta menyokong pembelajaran dalam talian yang fleksibel dan menjadikan pembelajaran lebih menarik. Ia juga membolehkan pelajar melibatkan diri dalam pelbagai projek dan mempelajari kemahiran digital. Selain daripada itu, guru juga boleh menggunakan landasan dan teknologi ini untuk berkongsi kandungan pembelajaran dan latihan yang berkualiti tinggi dengan lebih mudah dan cepat.
“MYNIC akan terus melaksanakan Program ‘Corporate Social Responsibility’ yang holistik dan sekaligus dapat membantu pembentukan pembangunan modal insan demi kesejahteraan komuniti. Dengan penganjuran program sebegini, ia menunjukkan MYNIC juga menitikberatkan perkara yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Pelbagai inisiatif CSR telah dan akan dilaksanakan oleh MYNIC untuk dinikmati oleh masyarakat di mana untuk strategi jangka panjang ianya akan memberi manfaat kepada sosio ekonomi negara secara keseluruhannya,”kata Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan.
"Penghargaan dan pujian juga harus di berikan kepada pihak Huawei Malaysia yang menyambut baik usaha ini dengan menjalinkan kerjasama dengan MYNIC bagi meningkatkan lagi kebolehcapaian pendidikan untuk semua ” tambah beliau.
Inisiatif pemberian tablet kepada pelajar-pelajar sekolah juga merupakan salah satu usaha MYNIC bagi mendekati dan mendidik masyarakat sekaligus menyokong usaha Kerajaan ke arah menerapkan penglibatan digital kepada rakyat Malaysia. Ia juga selaras dengan program utama MYNIC iaitu PRIME (Program Realisasi Impian Ekonomi Digital) yang telah diperkenalkan pada penghujung tahun 2020, di mana pendedahan awal kepada penggunaan teknologi akan dapat membantu memudahkan adaptasi ekonomi digital. Program PRIME ini direka khusus bagi memacu adaptasi digital di kalangan usahawan Mikro, Kecil Sederhana (MSME) dan sekaligus meningkatkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia.
Selain itu juga, 47 buah sekolah di Parlimen Indera Mahkota, Kuantan, akan menjadi perintis kepada Program Pengupayaan Digital Sekolah dengan aktiviti pembudayaan teknologi digital yang menggalakkan kehadiran dalam talian di dalam pembangunan laman sesawang rasmi sekolah yang akan dilengkapi dengan fungsi e-dagang. Pelbagai aktiviti akan dilakukan dengan pihak sekolah bagi menjayakan program ini termasuk untuk membawa koperasi dan pembayaran yuran ke dalam talian.
Sementara itu, Encik Michael Yuan berkata bahawa sebagai peneraju teknologi global terkemuka dengan pengetahuan dan kepakaran yang meluas dalam bidang 5G, Pengkomputeran Awan dan Kecerdasan Buatan (AI), ia merupakan tanggungjawab Huawei Malaysia untuk menggunakan sumber dan teknologi yang ada untuk meningkatkan kehidupan segenap lapisan masyarakat.
“Di Huawei, kami percaya bahawa pendidikan adalah landasan masa depan bagi sebuah negara dan perlu bersifat berterusan. Generasi muda merupakan teras masa depan tersebut dan dengan itu, kami sangat berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan MYNIC bagi mencapai matlamat yang murni ini,” kata Michael Yuan.
“Pendidikan merupakan hak setiap kanak-kanak. Kami percaya kanak-kanak, tanpa mengira kaum dan status sosioekonomi, wajar memiliki akses saksama kepada pendidikan, termasuk dari sudut sumber, alatan dan teknologi . Oleh yang sedemikian, Huawei komited memainkan peranan kami untuk merapatkan jurang digital dan memanfaatkan kelebihan teknologi bagi meningkatkan pendidikan untuk semua serta menyediakan anak-anak kita untuk menjadi pemimpin masa depan,“ tambah beliau.